Friday 24 June 2011

BUAT ANAK-ANAKKU YANG DISAYANG

BUAT ANAK-ANAKKU YANG DISAYANGI

Pengharapan ini juga boleh diaplikasikan kepada sesiapa sahaja yang sependapat dan sehaluan dengan saya.      Bistaman Sulong@Sidik

Mereka mengejar dunia dan melupai akhirat
Mereka mengejar dunia dan mensia-siakan akhirat
Mereka menggunakan dunia untuk bekalan ke akhirat
Mereka menggunakan dunia untuk berbelanja di akhirat

Semasa kelahiran anak kedua
(1988)

Anak-anakku dan isteri-isteriku yang dikasihi.

“Sesungguhnya 9 per sepuluh rezeki itu datangnya dari perniagaan”
Hadis Rasullullah ini jelas memperkatakan bidang perniagaan yang mengalurkan pelbagai pekerjaan dan pendapatan kepada manusia di muka bumi Allah ini.
Rasullullah adalah manusia yang tidak belajar secara langsung dari seseorang guru tapi “yakinlah” bahawa apabila Allah menghendakki seseorang itu mendapat petunjuknya maka terjadilah “keajaiban” itu.
Dan, kehebatan dan kekuasaan ini yang tidak dapat dijelaskan oleh dunia sains barat akan terus berlaku kepada mereka-mereka yang menyakini kewujudanNya dan ketelusan hati kepadaNya.
Ingatlah wahai anak-anakku pesanan para sahabat bahawa,
“ Orang yang paling cerdik adalah orang yang bertakwa”
Orang cerdik bukan yang mendapat 5, 7, 9, 15, 17A dalam sesuatu bidang pelajaran atau ilmu sebagaimana yang dimasyhurkan oleh dunia hari ini tapi adalah orang yang bertakwa: orang yang merendahkan diri kepadaNya, orang yang menyakiniNya, orang yang sentiasa ingat kepada Penciptanya, orang yang ingat kepada Hari Akhirat dan Kematian.
Ilmu bukan mencerdikkan orang tapi banyak yang telah merusakkan manusia.
Takwa adalah keadaan yang telah memindahkan manusia kepada keselamatan diri dan menyelamatkan orang lain.
Iman adalah keyakinan hati kepada kewujudan Akhirat dan Dunia merupakan ‘wakaf’ rehat sementara ke akhirat yang kekal abadi.
Bukalah minda kita! Ke manakah perginya mereka semua yang telah meninggal dunia atau mati itu?
Kenapakah mereka tidak datang kembali ke dunia ini, kalau benar keasikkan dan keseronokan dunia ini kekal abadi?
Sesungguhnya “dunia” adalah perhiasan semata-mata yang tahap ketahanannya akan luntur dan pudar. Ada tempuh tamatnya: Expire date.
Justru itu sekiranya Allah menghendaki kamu untuk sesuatu tugas akan ‘disuasanakan’ kamu ke arah itu.
Akan dipermudahkan kamu segala urusan yang menjurus ke situ.

Ingatlah pesan Abie, …………………………. Kita tidak mahu dikenali dunia  atau jangan kita minta dunia mengenali kita tapi cukuplah Allah mengenali kita. Amin, Ya Rabulalamin.
 
 Anak-anak, abie begitu kepunan sekali untuk memiliki kalian sejak di awal perkahwinan abie dengan umi an lagi. Tapi Allah tidak mengizinkannya. Namun begitu dapat juga abie menatapi aruah abang mu yang meninggal semasa dalam kandungan dan seorang lagi 2 minggu selepas dikeluarkan dari rahim ibunya. Betapa abie melihat mata yang jernih bersih memandang abie ketika ia hampir-himpir pergi meninggalkan kami di Hospital Besar, Terangganu. Betapa sedihnya umi an ketika itu dan doktor berbanga india yang bertugas untuk menyelamatkannya tunduk menangis sama. Abie kuatkan semangat dengan mengatakan bahawa kepergiannya adalah yang terbaik kerana mereka (anak-anak kembar ini: Muhammad Adlan Ramadhan dan Muhammad Juma Ramadhan)  adalah petanda mereka akan menunggu ayahibunya di pintu syurga nanti.
Di sini abie nyatakan Pengharapan Abie kepada anak-anak adalah tinggi dan terserahlah kepada Nya samada berjaya atau tidak. Abie hanya merancang dan Allah menentukan segala-galanya. Aamin.

Muhammad Nur Hatadi (Along)
Adalah anak Abie yang sulong dan merupakan tongak pertama menegakkan perjuangan ini. InsyaAllah anda akan menjadi HAFIZ dan bertugas sebagai Iman keluarga dan kampung ini. Anda akan mengajar Al-Quran kepada masyarakat kampung ini.

Muhammad Nur Hafizuddin (Angah)
Anda anak kedua bertugas sebagai penolong Along dalam menegakkan perjuangan kampung ini. InsyaAllah anda juga akan menjadi HAFIZ dan bertugas mengajar Al-Quran kepada masyarakat dalam kampung ini.

Muhammad Nur Hazim (Acik)
Selaku anak yang ketiga abie dapati acik mempunyai bakat kreatif dan abie mahu selain menjadi hafiz , acik bertanggungjawab kepada kecantikan, keceriaan, keselamatan dan keunikan kampung. Tugas bilal juga di bahu acik.

Muhammad Nur Hanif (Alang)
Anda anak keempat dan mempunyai tubuh badan yang sasa dan sifat pendekar. Selain menjadi hafiz anda bertugas sebagai bilal, mengajar al quran dan penjaga atau pengawal kampung ini.

Nur Bashirah (Kakak)
Satu-satunya anak perempuan abie dan umie. Anda merupakan seseorang yang akan keluar kampung dari adik beradikmu untuk memperluaskan minda perjuangan keluarga suami kamu. Selain menjadi Hafizah anda akan mengikut suami untuk membentuk keluarga sebagaimana yang telah abie laksanakan di sini. InsyaAllah. Ingatlah, tangan yang menghayunkan buaian boleh menggoncang dunia. Pastikan anda salah seorang antara mereka. 18.02.2002

Muhammad Nur Hafizin (Abang)
Anak keenam abie dan umie. Anda memiliki peribadi unik dan mampu mempengaruhi manusia lain. Selain dari hafiz anda bertugas sebagai bilal, pengajar al quran dan ‘Arkitek’ kampung pembantu acik.

Muhammad Nur Habri (Abang Habri)
Anda yang tidak dapat Abie tentukan corak hidupmu secara langsung berharap menjadi seorang yang boleh menyumbangkan sesuatu kepada dunia ini.

Muhammad Nur Hazlan (meninggal)
Anda juga meninggal 2 hari sebelum lahir kerana kelemasan kata doktor hospital USM kubang kerian. Ketika itu abie berada di dalam hospital USM mendapatkan rawatan akibat di patuk ular berbisa (suduselar). Mengikut kata orang abie sepatutnya mati akibat dari patukan tersebut. Sebanyak 25 dos anti-venom dimasukkan ke dalam tubuh abie baru abie stabil. Dan abie memang mengalami saat kematian yang luarbiasa......
Dan kata orang pula bahawa sepatutnya abie mati tetapi anak abie (anda)  dalam kandungan  ummi meminta untuk gantian. Mungkin ada tugas yang akan abie dipertanggungjawabkan nanti......

Muhammad Nur Harith (Adik)
Anda mungkin anak bongsu dari umie dan harap menjadi hafiz dan mualim tempatan.

Muhammad Nur Solihin
Kemungkinan besar anda akan dibesarkan di Thailand dan Malaysia. 3 bahasa akan menjadi pertuturan  anda iaitu Melayu, Thai dan Inggeris. Semasa umur rendah anda akan belajar di Pondok Islam atau Malaysia. Gunakan kelebihan bahasa itu untuk berdakwah tentang keindahan Islam.

Anak-anakku yang bakal mendatang (Muhammad Nur dan Nur)
Anda-anda akan mengikuti jejak para abang dan kakakmu di atas dan sentiasalah bersyukur dengan apa yang kita ada serta tabah dalam perjuangan ini.
Pastikanlah anda semua belajar agama atau penuhi ilmu agama dahulu. Selepas itu baru belajar ilmu kemahiran untuk membentuk hidup kalian sebagaimana abang-abang anda. Sematkanlah dalam jiwa kalian untuk menjadi hamba Allah yang jujur dan setia serta bertingkahlaku terpuji. InsyaAllah.

*Peringatan Penting:
Walau apapun terjadi samaada anda menjadi apa yang abie harapkan atau tidak penghidupan mesti diteruskan dan berjanjilah yang anda akan menjadi anak yang taat dan tidak menyusahkan saudaramu dan masyarakat umumnya.
Pastikan kalian saling  bantu membantu antara satu dengan yang lainnya. Susah senang hendaklah sama-sama menanggungnya.
Dan kemungkinan adik-adik kalian akan berada jauh dari anda! Maka dekatkanlah hubungan dengannya dan bantulah ia jika mereka susah. Bantuan ilmu adalah jalan terbaik kepada adik-adik kamu.

Kalian,

Dewasa kelak kalian akan merancang untuk berkeluarga. Justeru itu abie ingin mengingatkan kalian kepada perkara-perkara di bawah:

Nama
Apabila anda mendapat anak pastikan jika lelaki namakan mereka dengan pendahuluan MUHAMMAD NUR  diikuti nama yang anda kehendaki, sebagaimana yang telah abie berikan kepada anda kalian.. Jika ianya perempuan pastikan dengan NUR sebagai huruf pangkalnya.
Ini kerana abie mahu anakcucucicit abie akan mengenali dan bersatu dengan nama pangkal ini.

Ilmu
Iqrak (bacalah) merupakan tangga untuk memperolehi ilmu bagi mememanafatkan diri dan alam sejagat.
Ilmu terbahagi kepada dua bahagian .
Satu ilmu Zahir (Dunia) dan
satu lagi ilmu Batin (Laduni) dan
kedua-duanya harus dipelajari sebagaimana tuntutan nabi kepada kemahuan kita iaitu,
bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beramallah seolah-olah kamu akan mati esoknya.
Belajarlah apakah itu Rukun Iman dan Rukun Islam serta hubungkait antara satu sama lain, belajar sifat 20, 4 sifat mukmin: tabligh, siddik, amanah dan fatonnah.
Belajar ilmu syariat, tasyhwur, tarikat, hakikat dan makripat. Belajar sejarah nabi dan rasul, kedatangan Islam dan kebangkitannya. Zaman 300 tahun selepas Nabi Muhammad SAW dan kelesuan Islam akibat penyakit cinta dunia dan takut mati.

Tahap satu:
Baca buku-buku ini:
1.         Falsafah  Hidup…………………karangan              HAMKA
         2.     Kuliah Subuh 1 dan 2…………….”                            Bey   Ariffin
3.       Tafsir Al Azhar…………………....”                    HAMKA

Tahap dua:
1.         Ihlia Ulumiddin………………………….     Iman Al Ghazali                       


DIRI mestilah mampu menjadi iman kepada keluarga dan mahir dalam menguruskan aktiviti agama dengan baik seperti contoh mengepalai majlis tahlil, doa selamat, zikir, majlis khatam Quran dan lain-lain berkaitan agama. Juga anda hendaklah juga mahir dalam memasak sesuatu masakan kerana makanan merupakan keperluan asas manusia.
Ketika remaja anda mesti dapat menghafal surah-surah yang penting (10 surah) Biasakanlah diri melaungkan azan di madrasah supaya dengan ini anda tidak ‘kekok’ apabila mengazankan anak anda yang dilahirkan nanti. Selalulah mengingati dan menghafalkan nasyid dan zikir berirama supaya anak anda nanti akan dialunkan dengan perkara-perkara ini dari buaian dan dukungan anda ke peringkat berjalan. Pastikan anda dapat memperbetulkan bacaan al quran isteri dan anak anda sebaik mungkin. Tertib menjadi kepala keluarga hendaklah dipelajari dengan baik dan bersopan serta maniskan muka apabila bersama anak dan isteri kamu. Tunjukkan garangmu apabila sesuatu yang melanggar tertib yang telah kamu adakan. Berilah kemaafan apabila sibersalah memohon kemaafan. Ingat jangan sekali-kali mendera kaum keluargamu secara keterlaluan.

Disamping itu diri hendaklah mampu menguruskan dan mengimani solat jenazah ibuayahmu. Jangan meminta kepada orang lain untuk mengimani solat jenazah ayah dan ibumu. Kenapa anak orang lain yang mengimani solat jenazah ayah dan ibu kamu? Kenapa tidak kamu?
Ingatlah dahulukanlah ilmu yang hak dalam penghidupan kamu, kemudian baru ilmu duniawi.
SESUNGGUHNYA tanggungjawab sebagai seorang ayah berat dan setiap yang berat itu akan menjadi ringan sekiranya engkau mengetahui cara dan peraturannya. Belajarlah apa saja yang boleh dipelajari. Belajar bukan untuk mendapatkan ijazah tapi untuk mendapatkan ilmu. Justeru itu belajarlah di merata tempat kerana setiap tempat dan sudut di dunia ini ada ilmunya baik secara langsung atau tidak langsung. Memahami ilmu yang dipelajari dan menggunakannya pada ketika dan tempat yang sesuai. Untuk mendapatkan ilmu ada dua cara. Satu cara mengikuti yang disediakan dan satulagi mengikuti apa yang tidak disediakan. Dengan lain perkataan pembelajaran secara keadaan yang selesa dan sederhana (miskin) tak menjadi halangan seandanya anda memahami apa yang diajar. Pokoknya ilmu itu sama nilainya cuma keadaan ketika belajar hanya berbeza. Atau satu dengan cara mahal dan satu lagi dengan cara yang murah. Sudahlah caranya mahal tapi memanfaatkan hanya untuk satu tujuan sahaja amatlah merugikan. Carilah ilmu untuk dunia dan akhirat.
Tuturbicara biarlah senang didengar dan tidak menyakitkan hati dan perasaan orang lain. Berbicara secara merendah diri adalah terbaik dan berkatalah apabila diminta berbicara. Banyakkanlah perlakuan supaya yang mengerti ingin kepastian dengan bertanya. Yang tidak mengerti mendengar diam-diam setelah kalut.

Senyumlah selalu kerana senyuman itu adalah sedekah.
Elakkanlah percakapan yang lucu dan tidak sopan. Elakkan ketawa kuat dan mangilai kerana ketawa kuat dan mengilai bukanlah perangai Rasulullah.,

Berfikiran positiflah selalu dalam apa juga cadangan dan perancangan. Mata yang melihat selalunya menipu atau tersilap tafsir. Justeru itu lihatlah dengan mata hatimu sebaik mungkin. Jangan cepat bertindak terhadap sesuatu. Kaji dahulu kejadian tersebut, buat pengamatan, selidik dengan keupayaan sendiri baru jelaskan pendirian dan keputusan tanpa manyinggung pihak yang bersalah.

PAKAIAN mestilah untuk menutupi aurat. Bukan untuk melawa atau bermegah. Menutupi aurat dan menampakkan kecantikan atau kesegakan pakaian yang dipakai oleh orang-orang Islam alhamdulillah. Biar dengan cara pakaian dan penampilanmu boleh menarik minat untuk mengenali agamamu. Pastikan pakaian yang boleh menakutkan mereka jangan sekali dipaparkan. Pamerkan yang cantik-cantik dan indah-indah sahaja (yang cantik tidak semestinya mahal) supaya dengan ini mereka senang denganmu. Setiap sesuatu yang ada di bumi ini adalah dari Allah. Seperti bahasa, semua bahasa adalah hak Allah. Ada kalanya kita wajib mempelajarinya, ada kalanya bersifat harus, makruh, dan haram. Dalam pandangan abie semua bahasa harus dipelajari untuk perhubungan antara manusia dan mengajak manusia ke jalan yang hak. Berbalik kepada pakaian tadi pakaian mana-mana pun bersifat harus untuk menutupi aurat bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bahkan kalau pakaian sunnah itu adalah lebih baik. Tapi dalam keadaan hari ini kalau kita berpakaian sunnah ia disalahanggapkan oleh orang bukan Islam sebagai puak Islam yang melampau. Justeru itu kita kena sembunyikan dulu pakaian sunnah dan berpakaianlah dengan pakaian yang mereka senangi supaya mereka tidak takut dan datang dekat dengan kita. Untuk menakluki seseorang kita perlu dekat dengannya. Bak kata kalau peluru dari luar belum tentu dapat menumbangkan musuh kerana ia mungkin tersasar atau kalau kenapun tidak setepat mana tapi kalau racun yang diminum sudah tentu merebahkan peminumnya. Jadi pastikan untuk menakluki seseorang kita perlu mendekatkan mereka dengan kita mengatur langkah-langkah yang kemas supaya burung yang telah masuk perangkap, baik zahirnya atau batinnya terjebak kemas, InsyaAlah. 
Tambahan lagi pakaian adalah imej yang nampak pada pandangan. Sekiranya menawan dan cantik ianya akan menarik pelihatnya untuk berkawan dan mengenali kita. Jadikan pakaian kamu sebagai senjata untuk berdakwah. Biar musuh melihat kamu terasa senang.

KEDIAMAN
RUMAH mestilah tidak menampakkan kebesaran dan membazir. Mesti ingat tentang rumah Rasul dan para sahabat. Mereka tidak memiliki rumah yang begitu selesa, kediaman yang begitu besar dan perhiasan rumah yang begitu banyak. Ingatlah kedaan rumah Rasulullah:
  Beliau memiliki sebuah rumah kecil, bumbungnya boleh disentuh dengan tangan, manakala pintunya hanya ditabirkan dengan kain guni.
Berpandukan pedoman di atas maka yakinlah bahawa apa yang dibuat oleh Rasul patut diikuti oleh kita. Dunia hanya sementara dan perhiasan yang menipu saja. Rasulullah adalah manusia rujukan dan pedoman kenapa kita tidak mahu mangikutinya. Mengapa? Awasilah kata-kata Rasulullah selepas peperangan yang paling besar sekali dalam sejarah peperangan Islam. Kata beliau bahawa tiada perang yang paling besar dari perang ini (Badar) iaitu perang melawan hawa nafsu. Peperangan dalam diri kita antara menegakkan yang hak dan menewaskan yang mungkar. Lagipun perlu diingat bahawa mereka yang mengajarkan manusia membuat perkara-perkara yang besar-besar dan mahal adalah Firaun, Namrut dan lain-lain lagi orang yang mempersekutukan Allah.
Fikirlah anak-anakku betapa kita merasai apabila melihat kebesaran rumah seseorang! Pasti yang pertama kita akan berfikir yentulah kaya pemiliknya. Kedua kita rasa gerun atau takut untuk berkawan dengannya. Ketiga kita rasa hina. Hina tidak memiliki apa-apa seperti dia (yang memiiki rumah besar tadi)
Rumah ada pagar! Pagar siapa? Kalau nak pagar pencuri atau apa yang merosakkan tu menandakan bahawa aku jiranmu juga termasuk dalam golongan yang dikhuatirkan seperti mereka yang cuba engkau hindarkan sebab pagar yang engkau hasilkan berdiri 24 jam dan tiada pagar yang didirikan untuk itu sahaja. Tenungkanlah kita pakai baju untuk hijab tapi ketika tertentu sahaja tidak 24 jam begitu. Begitulah dengan pagar dan rumah yang kukuh., walau kukuh manapun buatannya sekiranya Allah telah manimbulkan niat seseorang untuk mencerobohinya maka terjadilah perkara itu. Hanya doa sahajalah yang mampu menepiskan niat dan keinginan seseorang. InsyaAllah.
Anak-anakku, rumah biarlah menampakkan kita miskin, biarlah menampakkan kita songsang dengan pergerakan zaman, manusia berlumba mengejar dunia seolah-olah mahu selamat tapi mereka tidak tahu bahawa keselamatan itu bukan pada benda., sebagaimana mereka sekarang ini percaya kepada kehebatan wang ringgit. Sampai ada yang mengatakan kalau tiada wang ringgit mana boleh hidup. Prinsip beginilah yang menyebabkan mereka hidup untuk makan dan bukannya makan untuk hidup.
Jangan sekali-kali berbangga dengan harta dunia, menunjuk-nunjuk apa yang ada. Ingatlah… lagikan perhiasan diri wanita, Rasul melarang menunjukkannya di khalayak ramai, inikan pula harta dunia.

KERJA
         Perkerjaan yang terbaik adalah perniagaan. Hindarkan diri daripada makan gaji. Makan gaji untuk suatu jangka masa tertentu adalah untuk mendapatkan sesuatu kemahiran. Apabila kemahiran  itu difahami dan yakin serta mempunyai kemampuan sebaiknya maka mulailah perniagaannya.
Dalam perniagaan mestilah memilih perniagaan yang kurang berebut dengan orang iaitu pilihlah perniagaan persaingan yang baik.

Hindarkanlah menjadi kontraktor projek kerana ini akan menyebabkan ketidakpuasan masyarakat. Sebolehnya jadilah peniaga sektor perkhidmatan seperti kedai makan makanan halal, kedai runcit, rumah tumpangan dan lain-lain lagi. Juga di sektor pertanian dan perladangan yang lebih tidak bersaing dan memusatkan aktiviti kepada iklim dan redha Allah.
Perniagaan memang menjadi kemahiran orang Cina kerana mereka merupakan pedagang yang berhijrah ke negara kita. Hari ini mereka menguasai ekonomi negara kerana kelebihan itu. Justru itu abie jadikan pedoman kepada cara mereka.

Dalam perniagaan mesti ada perkara berikut:
1.                  barang yang diperniagakan
2.                  bagaimana barang itu dihasilkan
3.                  bagaimana barang itu diperniagakan
Caranya:
Barang yang diperniagakan                           Ubi kayu
Bagaimana barang itu dihasilkan          Ditanam di atas tanah
Bagaimana barang diperniagakan                   Dijual ke Kilang
Jadi dalam menguruskan perniagaan ini kita mesti ada :
1.       Bahan niaga                    =        Ubikayu
2.       Kawasan hasilan bahan    =        Ladang (tanah)
3.       Permintaan  =Kilang/mereka yang menghasilkan sesuatu daripada
           Ubikayu.
Dengan lain perkataan kita mesti ada tanah/ladang untuk ditanam tanaman ini, mesti bahan untuk ditanam dan pengurusan tanah/ladang, mesti ada pembeli atau kilang untuk memastikan hasil tanaman tersebut dijual atau pasaran.
Kalian mempunyai ramai adikberadik dan bersatu adalah merupakan pemuafakatan yang terbaik dan jitu. Anda boleh bahagikan:
Seorang akan menguruskan bahagian tanaman, seorang akan menguruskan bahagian pemasaran dan seorang akan menguruskan bahagian kilang (sekiranya mempunyai kilang)
Dalam perniagaan sektor pemakananlah yang paling menguntungkan kerana kita sudah terjamin tidak kelaparan.
Dan anda dikehendaki INGAT selalu bahawa jangan mengikuti jalan mudah dan cepat kaya kerana hukum Allah sesuatu itu mestilah melalui tertibnya (sunnahtullah).
Lihatlah bagaimana Allah jadikan kita dengan melalui peringkat-peringkat umur. Begitulah juga dengan kejadian lainnya melalui masa dan keadaan. Tiada yang cepat dan segera.

Contoh cerita kawan abie mengenai anak-anaknya yang berkerja makan gaji:     
         Kawan abie mempunya anak yang seorang berkelulusan universiti dan berkerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta dengan gaji 1,500 sebulan di bandar KL dan seorang lagi berkelulusan SPM berkerja di kedaimakan dengan gaji 800 sebulan. Yang bergaji 1500 sebulan tidak dapat memberikan atau menyimpan wang sebanyak 400 atau 500 ringgit tetapi yang berkerja di kedaimakan dapat memberikan ibunya atau menyimpan sejumlah itu. Ini bermakna bahawa anaknya yang berkerja sebagai pelayan di kedaimakan telah jimat dari segi makanan hariannya sementara yang berkerja di syarikat swasta terpaksa berbelanja untuk makanannya dan tambang pergibaliknya ke pejabat. Katakanlah perbelanjaan tadi berjumlah 20.00 ringgit sehari bermakna ia terpaksa menghabiskan sejumlah 600 ringgit sebulan.
Sebab itu abie mahukan anda dan anakcucu anda memilih pekerjaan yang berjangkapanjang yang baik dan selamat dunia dan akirat. Ia mungkin tidak nampak ‘grand’ atau bergaya di mata masyarakat tapi yang kita mahu adalah KEREDHAAN Allah.  Disamping itu ia(syarikat) akan menjadi aset yang boleh diwarisi oleh anak-anak anda.

Sesungguhnya perjuangan seorang muslim itu sangatlah besar
dan bermanfaat. Apa tidaknya ia bertanggungjawab kepada diri
dan keluarganya di akhirat kelak (Jagalah diri dan keluargamu
dari kepanasan api neraka)
Taburlah baktimu di segenap muka bumi, damailah bumi ini
dengan kebijaksanaanmu. Pimpinlah bumi ini dengan pimpinan tali   Allah. Sesungguhnya yang hak itu tiada bandingan kebaikannya. Pastikan tubuhmu memancarkan cahaya Islam, cakapmu      mendengarkan kesyahduan penghidupan Islam dan pe’elmu
mempamerkan kehebatan dan kecantikan Islam.
  Dilihat……………………………menawan
  Didengar………………………..mengasyikkan
  Diingat……………………………merindui & ingin memilikimu

Dunia adalah ‘wakaf’ rehat sementara untuk meneruskan perjalanan ke alam akhirat yang kekal abadi.

‘Dakwah adalah kerjaku’
Islam adalah agama untuk semua bangsa dan penghidupan atau dengan lain perkataan untuk seluruh alam.
Manusia hidup dengan berkeinginan kepada tempat tinggal, makan-minum, tidur, kerja, hiburan, ketenteram dan banyak lagi keinginan diri dan masyarakat yang membentuk syariat atau hukum. Dengan lain perkataan semua itu adalah budaya atau carahidup.
Carahidup inilah yang patut diIslamkan. Cara makan/minum, tidur, tempat tinggal, hiburan, berinteraksi dengan orang lain dan seterusnya.
Dalam mengIslamkan carahidup ini seseorang pendakwah patut mengenali teknik dan cara. Ini akan memudahkan lagi sekiranya berILMU dan mengHADIRkan diri kepada suasana tersebut (Cerita Tok Kenali dengan dakwahnya).
Justru itu PENAMPILAN diri dengan ilmu yang difahami adalah senjata untuk mempengaruhi dan konklusinya akan mendidik. InsyaAllah.
Penghidupan akan menjadi lebih menyeronokan apabila berada di dalam situasi itu dan memahaminya.
Dan INGAT jangan sekali-kali kamu berdakwah melalui pertubuhan kerana ianya akan menyebabkan banyak kesukaran. Berdakwahlah secara sendirian atau berjemaah yang hanya berlandaskan Alquran, Sunnah dan Hadis.

SOALAN SATU
Bagaimanakah nak diatasi perkara di dalam berita di bawah ini terjadi kepada cucu-cucu abie? 
 KANAK-KANAK MATI DIDERA PENGASUH

Kenapa memerlukan pengasuh ? Kenapa diberikan anak kepada pengasuh?
Dalam program yang abie rancangkan, insyaAllah perkara ini dapat diatasi.
Apa tidaknya apabila satu keluarga itu sudah mendapat RM3,000.00 sebulan dari syarikat. Maka si suami akan berkerja sebagai mendapatkan pendapatan tambahan sahaja dan si isteri akan kekal di rumah menjadi ibu yang bertanggungjawab untuk melahirkan mujahhid Islam.
Dan tiadalah si ibu terpaksa keluar rumah bersama suami mencari rezeki dan membiarkan si anak dididik oleh pengasuh tanpa pengetahuan siibubapa! InsyaAllah.
Sedangkan anak-anak pada peringkat ini memerlukan sentuhan ibunya yang sebenar...... “tangan yang menghayunkan buian boleh mengegarkan dunia.”
Alhamdulillah pada 2009 lepas Allah membuka minda abie kepada satu persoalan yang diberikanNya jawapan terbaik untuk mengatasi penghidupan ini......
Justru itu dengan program yang direncanakan ini akan selamat dan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah, aamin.
Bagaimana nak diwujudkan Jemaahku adalah Keluargaku dan Deritamu adalah Deritaku jua.


BERSAMBUNG LAGI DENGAN PERISTIWA PERTARUNGAN DENGAN GOLONGAN JIN. INSYAALLAH.










No comments:

Post a Comment